Akta 355

182
0

AKTA MAHKAMAH SYARIAH (BIDANG KUASA JENAYAH 1965) @ AKTA 355

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 adalah suatu Akta untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan di bawah hukum Syarak. Akta ini bertujuan untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa berkaitan hukuman kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri dalam hal berkaitan undang-undang Islam.

Kandungan Akta 355
Akta ini hanya mengandungi 3 seksyen.

  • Seksyen 1 menyatakan tajuk ringkas Akta ini dan menyatakan bahawa pemakaian Akta ini adalah terpakai di seluruh Malaysia.
  • Seksyen 2 menyatakan seperti berikut:
    “Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis: Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”
  • Seksyen 3 menyatakan seperti berikut:
    “Segala kesalahan di bawah hukum Syarak yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini berhubungan dengan Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dan yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan) 1989 berhubungan dengan Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak telah dibicarakan oleh mana-mana Mahkamah yang disebut terdahulu hendaklah disifatkan telah dibicarakan dengan sah seolah-olah bidang kuasa yang berkenaan dengannya telah diberi kepada Mahkamah-Mahkamah tersebut oleh undang-undang Persekutuan.”

Sejarah Pindaan 1965 @ AKTA355

Pada tahun 1965, Parlimen telah meluluskan Muslim Court (Criminal Jurisdiction) Act 1965 atau Akta 1965, berpandukan kepada kuasa yang diberikan kepada Parlimen oleh Perlembagaan Persekutuan untuk meletakkan bidang kuasa tertentu kepada Mahkamah Syariah dalam perkara kesalahan. Parlimen mengambil punca kuasa daripada Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan untuk meluluskan Akta tersebut. Bahagian yang relevan daripada Butiran tersebut ialah, urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri, yang mana termasuklah “… keanggotaan, susunan dan tatacara Mahkamah Syariah, … tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; …”.

Kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia 1965 adalah seperti berikut:

  • Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja
  • Denda tidak melebihi RM1000.00 sahaja atau
  • 6 bulan penjara atau
  • Gabungan kedua-duanya (denda dan penjara)

Pengenalan RUU 355 ini adalah merupakan langkah awal bagi menyatukan kedudukan perjalanan Mahkamah Syariah di seluruh negara. Had-had sekatan bagi hukuman terberat di dalam kesalahan jenayah sebagaimana yang tercantum di dalam Fasal 2 RUU 355 ini bukanlah sebagai suatu hak yang mutlak dan tidak dapat dipinda, tetapi dicadangkan agar ditambah hadnya pada masa akan datang memandangkan Mahkamah Syariah di negara ini masih di dalam proses penambahbaikan dan kedudukan Undang-Undang Islam tidak sekata di antara negeri-negeri dalam Persekutuan.
Pindaan 1984
RUU 355 dipinda sekali lagi pada tahun ini bertujuan untuk memperluaskan lagi bidang kuasa jenayah bagi membolehkan Mahkamah-Mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau apa-apa denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali atau apa-apa cantumannya berbanding dengan kuasa yang diluluskan pada tahun 1965 yang menghadkan kepada penjara 6 bulan atau dengan denda RM 1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada waktu itu, kes-kes kesalahan jenayah di kalangan anggota masyarakat Malaysia amnya dan orang-orang Islam khasnya semakin bertambah meskipun kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah untuk menyekat kejadian jenayah di kalangan orang-orang Islam melalui usaha-usaha agama seperti dakwah, ceramah-ceramah agama dan penerangan-penerangan berhubung dengan agama Islam, namun kes-kes kesalahan jenayah terus berlaku.

Tujuan peruntukan yang membolehkan Mahkamah Syariah mengenakan hukuman yang lebih berat ini bukan bertujuan untuk menzalimi orang-orang Islam tetapi untuk menjadi peringatan dan amaran kepada umum serta gesaan untuk mengelakkan daripada melakukan kesalahan jenayah. Kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia 1984 dengan pindaan adalah seperti berikut:

  • Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja
  • Denda tidak melebihi RM5000.00 sahaja atau
  • 3 tahun penjara atau
  • Hukuman rotan tidak melebihi daripada enam kali sebatan atau
  • Gabungan ketiga-tiganya (denda, penjara dan rotan)


Pindaan 1989

Pindaan RUU 355 ini adalah bertujuan untuk memperluaskan pemakaiannya ke negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan mengesahkan bidang kuasa yang telah dilaksanakan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah di kedua-dua negeri tersebut sebelum tarikh Akta ini diperluaskan pemakaiannya ke sana. Kerajaan di kedua-dua negeri tersebut telah meminta Akta 355 itu diperluaskan di sana bagi maksud tersebut supaya apa yang dilakukan oleh Mahkamah-Mahkamah Syarah di sana tidak dicabar sebagai tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian 2016[sunting | sunting sumber]

26 Mei 2016, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang telah membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian dalam Dewan Rakyat. Pindaan RUU 355 itu bertujuan bagi memperkasakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang selama ini menghadkan Mahkamah Syariah supaya hanya boleh mengenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda maksimum RM 5000 dan enam sebatan rotan sahaja. Apa yang dicadangkan adalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati.

Cadangan itu dibentangkan oleh wakil daripada pihak pembangkang dan bukannya wakil daripada pihak kerajaan kerana kerajaan terikat dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah. Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah daripada 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana Mahkamah Sivil.

Untuk itu, Menteri perlu mengadap semua Sultan-Sultan atau Raja Melayu untuk mendapat perkenan kerana kuasa agama terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu. Setakat ini ada di kalangan Negeri yang belum bersetuju. Jika semua bersetuju barulah boleh dibentangkan di peringkat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen.

Dengan kata lain, walaupun Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan, namun ia adalah berkait secara langsung dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terletak di bawah Kuasa Sultan/Raja-Raja. Terdapat banyak tertib langkah yang perlu dilalui oleh Menteri termasuk meyakinkan Jemaah Menteri yang terdiri dari Parti-parti bukan Islam.

Justeru bagi mengelakkan kesukaran yang mungkin boleh menjejaskan perjalanan proses pindaan Akta 355 itu, adalah lebih mudah prosesnya jika ia dimulakan sebagai Usul Persendirian. Jika Dewan Rakyat meluluskannya untuk dibahaskan ia adalah kemahuan majoriti Rakyat dan bukannya kemahuan Kerajaan semata-mata. Kemahuan ini tidak sekali-kali menyentuh kuasa Raja-Raja kerana apa pun tahap maksimum hukuman yang diluluskan, pindaan muktamad masih perlu dilakukan di peringkat DUN.

Dalam konteks tertib yang sama berkaitan peningkatan Kuasa Hukuman Mahkamah Syariah yang hendak diperkasakan, Kerajaan terikat dengan prosedur serupa. Walau bagaimanapun Parti Pas dalam konteks ini tidak terikat dengan prosedur ini dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU ini dibentangkan.

Sumber: Wikipedia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here