AKTA MAHKAMAH SYARIAH (BIDANG KUASA JENAYAH 1965) @ AKTA 355

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 adalah suatu Akta untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan di bawah hukum Syarak. Akta ini bertujuan untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa berkaitan hukuman kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri dalam hal berkaitan undang-undang Islam.

10 SALAH FAHAM USUL RUU355

PINDAAN Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) @ Akta 355 telah mengundang pelbagai persepsi sejak dibentangkan.

Ikuti jawapan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung 10 salah faham tentang isu ini dalam sesi Dialog dan Soal Jawab dengan pemimpin bukan Islam khususnya MCA dan Gerakan Kelantan di Kota Bharu.

MEMAHAMI AKTA 355 & CADANGAN PINDAANYA

Apa itu Akta 355 ?

● Usul yang dibentang oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) di Parlimen pada tanggal 26 Mei 2016 yang lalu adalah Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta 355 Mahkamah Syariah (1965)

● Akta 355 ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Kali terakhir dipinda ialah pada tahun 1984

● Bidang kuasa Mahkamah Syariah (pindaan 1984) hanyalah terhad kepada :

3 tahun penjara
5 ribu ringgit
6 kali sebatan

Kenapa Perlu Pinda Akta 355 ?

● Memperkasakan Institusi Mahkamah Syariah

● Bidang Kuasa Mahkamah Syariah (pindaan 1984) adalah lebih rendah dari bidang kuasa Mahkamah Majistret sedang Islam adalah agama persekutuan.

● Sesuai dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada pembukaan Parlimen ke 13, Penggal ke 4 pada tanggal 7 Mac 2016 supaya Institusi Mahkamah Syariah diperkasakan.

● Agar bidang kuasa Mahkamah Syariah dipertingkatkan kepada tahap maksimum hukuman adalah selaras dan menepati Syariah Islam. (Jumlah denda, penjara dan sebatan tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri yang diputuskan melalui Dewan Undangan Negeri masing-masing)

Adakah Non Muslim Terkesan Dengan RUU 355 ?

● Non Muslim tidak perlu bimbang dan takut. Malah mereka tidak perlu menentang dan mempersoalkannya kerana pindaan Akta 355 adalah pindaan yang hanya berkait dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

● Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355 Seksyen 2 juga telah menjelaskan hanya umat Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

RUU 355 Melibatkan Hukuman Mati dan Potong Tangan ?

● Pindaan Akta 355 adalah pindaan untuk mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan denda, penjara dan sebatan.

● Ianya tidak melibatkan hukuman mati atau potong tangan.

Betul Ke Dakwaan Bahawa Pindaan Akta 355 Bercanggah Dengan Perlembagaan ?

● Akta 355 yang sedia ada pun sememangnya diluluskan oleh Parlimen Malaysia sejak tahun 1965

● Akta 355 sebelum ini pernah dipinda iaitu pada tahun 1984. Maka apa masalah untuk dipinda lagi pada tahun 2016 ? Sedang ia bertujuan untuk memperkasakan Institusi Mahkamah Syariah.

● Parlimen Malaysia sememangnya tempat meminda dan meluluskan undang-undang.

● Perkara 3 Perlembagaan Malaysia menyatakan : “Islam ialah Agama Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”